Monday, February 16, 2009

Perlunya Memahami Nusus Al-Quran.



Penyelewengan penggunaan nusus samawi pada umat terdahulu telah memberi impak yang besar kepada masyarakat dan menyebabkan kesesatan pegangan akidah manusia. Penyelewengan ini yang juga disebut sebagai tahrif yang telah dilakukan oleh golongan agamawan nasrani dan yahudi telah memutar belitkan fakta wahyu samawi dari rasul yang di utuskan untuk mereka.
Senario ini telah dirakamkan di dalam ayat suci Al-Quran yang menceritakan perbuatan keji mereka sebagai renungan dan pengajaran untuk seluruh umat manusia. ALLAH S.W.T. berfirman di dalam Surah Al-Maidah pada ayat 13 yang mafhumnya :
" (Tetapi) kerana mereka melanggar janjinya, maka Kami melaknat mereka dan kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka suka mengubah firman ALLAH dari tempatnya dan mereka sengaja melupakan sebahagian pesan yang telah diperingatkan kepada mereka".

Masalah ini juga timbul dikalangan umat islam sekarang tetapi tidaklah terlalu ketara kerana penyelewengan ini bukanlah penyelewengan terhadap sumber-sumber asal (nusus samawi), akan tetapi ia terjadi dari sudut makna dan dalalahnya di dalam mempraktikan apa yang diajar oleh agama islam itu sendiri.
Perlunya seseorang individu islam itu untuk memahami nas-nas Al-Quran. Para ulama terdahulu telah membincangkan kaedah-kaedah memahami nas Al-Quran untuk menyatakan peri penting di dalam mengistinbatkan hukum berdasarkan ayat-ayat suci Al-Quran. Lihat saja karangan-karangan ulama dahulu dalam ilmu Usul Fiqh, terlalu banyak jika ingin disebutkan satu persatu. Imam At Tahir Ibn 'Asyur dalam Maqasid Asy Syariah Al Islamiah, Imam Asy Syatibi dalam Al Muwafaqatnya, Imam Az Zarkasyi dalam Al Burhan Fi 'Ulum Al-Quran, juga ulama kontemporari seperti Dr. Yusof Al Qardhawi dalam Kaifa Nata'amal Ma'a Al-Quran, Al Madakhal Li Dirasat As Sunnah An Nabawiah dan bermacam-macam lagi.

Seseorang itu dibezakan melalui kefahaman masing-masing. ALLAH S.W.T. memuji hambanya yang memahami isi Al-Quran bukan hanya pada zahir ayat bahkan melangkaui makna tersurat dan tersirat. Firman ALLAH S.W.T. di dalam surah An Nisa' pada ayat 83, mafhumnya :
" Dan apabila sampai kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka (langsung) menyiarkannya. Padahal apabila mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya akan dapat mengetahuinya secara rasmi dari mereka (Rasul dan Ulil amri).

Imam Abu Hamid Al Ghazali telah membuat perumpamaan aqal umpama mata yang melihat, manakala naqal syara' pula umpama cahaya matahari yang terang benderang.Perumpamaan orang yang menggunakan naqal syara' tanpa aqal adalah seperti orang buta atau seorang yang tertutup kedua-dua matanya di siang hari. Cahaya terang jelas memancarkan sinarannya namun matanya tertutup dan terhalang dari melihat apatah lagi untuk membezakan objek dihadapannya. Ini menyebabkan individu tersebut meraba-raba seperti di dalam kegelapan sedangkan dia berada di kawasan yang terang benderang. Manakala orang yang hanya menggunakan aqal semata tanpa berlandaskan naqal syara' seperti seorang yang dapat melihat dengan kedua belah matanya keluar pada waktu malam yang gelap gelita, tiada satu pun sudut yang becahaya, kemudian melihat objek dihadapan untuk membezakannya, pasti dia tidak akan dapat membezakannya apatah lagi untuk membezakan warnanya.

Perumpamaan individu yang sempurna ialah ahlul haq yang menghimpunkan antara aqal dan syara', umpama seseorang yang keluar di waktu siang hari dan memiliki penglihatan yang sempurna, tidak rabun atau memiliki apa jua penyakit mata. Sudah pasti dia mampu mengenal objek dan dapat membezakan warnanya. Si buta dalam kegelapan itu di gambarkan sebagai puak kuffar dan sekutunya. Mereka buta seluruhnya tambahan pula berada di dalam gelap.

Kesimpulannya, pemahaman nusus syara' dalam islam secara dasarnya di bahagikan kepada empat bahagian:
1-Batiniah : mengistinbatkan hukum dengan mengambil makna yang tersirat dan mengabaikan zahir lafaz perkataan yang kebiasaannya diperolehi dengan kecenderungan nafsu.

2-Zahiriah : cenderung kepada memahami luaran semata dan mengistinbatkan suatu hukum dengan lafaz ayat tanpa mengambil makna yang tersirat. Kebiasaannya terkesan dalam hukum qias dan ta'lil. Dewasa ini manhaj zahiriah jelas menafikan jati diri islam pada setiap zaman dan tempat. Apakah hukum keseluruhannya ta'abudi hingga tidak boleh difikirkan asbab dan hikmah pensyariatan?!!

3-Aqlaniah ataupun dikenali sebagai rasionalis : memutuskan suatu hukum menggunakan akal semata-mata. Meskipun wujudnya nas yang berkaitan jika ianya bertentangan dengan adat akal maka nas akan ditolak dengan pelbagai alasan yang dilandasi dengan hawa nafsu. Golongan ini mempunyai perintis yang membawa ideologi mereka yang menyatakan hujah mereka mengunakan akal itu adalah yang terbaik, antaranya ialah Sulaiman Ibn Abd Al Qawiy At Tufi seorang yang kononnya bermazhab Hanbali. Pendapat beliau inilah yang selalu menjadi rujukan golongan yang mengetengahkan fikrah hurriyatul fikr.

4-Jumhur ulama, ahli sunnah wal jamaah : menganalisa nas-nas Al-Quran dengan kacamata akal dan syara' dengan seimbang. Tidak terlampau memandang zahir ayat dan tidak pula terlampau memandang makna ayat yang tersirat. Memutuskan suatu hukum bersandarkan itfaq dan ikhtilaf sumber iaitu Al-Quran, Sunnah, ijma', qias, dan juga dari sudut ikhtilaf iaitu istihsan, istishab, masolihu mursalah, uruf, kaulu sohabi (kata-kata para sahabat) dan dalil-dalil sebelum di utuskan Nabi Muhamad S.A.W.

Sekiranya umat islam mengambil enteng tentang usul agama ini, awaslah jika urusan agama semakin hari semakin terpesong dari landasan yang sebenar lantaran pemahaman serong yang dibawa oleh pihak yang melontarkan hujah berdasarkan akal semata. Ketahuilah antara tanda-tanda qiamat adalah tersebarnya kebodohan dan terangkatnya ilmu pengetahuan. Apabila 'alim ulama sudah tiada, manusia melantik si jahil sebagai pemimpin, maka natijahnya keluarlah arahan-arahan yang menyesatkan yang dilandasi oleh hawa nafsu.

"Ketika Nabi S.A.W sedang berucap di sebuah majlis, telah datang seorang lelaki arab lalu bertanya : Bilakah qiamat ?. Nabi S.A.W. meneruskan bicara tanpa menghiraukan soalan lelaki itu. Berkata beberapa orang di situ : Nabi S.A.W mendengar soalan tadi namun baginda tidak gemar untuk menjawabnya. Berkata yang lain pula : Nabi S.A.W tidak mendengar pertanyaan tersebut. Sehinggalah selesai ucapan, baginda berkata : Dimanakah yang bertanya perihal qiamat tadi?. Balas lelaki arab tadi : saya wahai Rasulullah!. Sambung Nabi S.A.W. : Apabila disia-siakan amanah, maka tunggulah saat kehancuran. Lelaki arab itu bertanya : Bagaimana amanah boleh disia-siakan? Jawab baginda : Sekiranya dipundakkan amanah kepada yang bukan ahlinya (tiada kelayakan) maka tunggulah saat kehancuran.

0 Spekulasi:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pengunjung

Kamu dari mana? Nak tengok apa?

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP