Monday, July 28, 2008

Menyemarak budaya membaca

Kebanyakan rakyat Malaysia kurang minat membaca. Nyatakan peranan yang dapat dimainkan oleh pelbagai pihak bagi menyemarak lagi budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

“Bulan Julai rasmi sebagai Bulan Membaca Kebangsaan”
“Azali Azlan pelajar genius SPM, Tokoh Nilam Kebangsaan 2007”
“Perpustakaan bergerak bantu pelajar di kawasan pedalaman”

Marcapada, berita-berita tentang isu budaya membaca seperti ini amat kerap disiarkan oleh media massa di negara kita. Namun hakikatnya, masyarakat di negara ini seolah-olah mengambil enteng tentang perkara ini. Bagaimana kita mahu melihat negara kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain sedangkan purata rakyat negara kita hanya membaca dua muka surat dalam masa setahun justeru penerbitan sebuah buku setiap 30 saat di dunia hanyalah seperti menangguk di air yang keruh. Bagi mengelakkan isu mengatakan bahawa rakyat Malaysia malas membaca, pelbagai pihak boleh menggunakan pelbagai prakarsa bagi menyemarak lagi budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Setiap penyakit ada penawarnya, dan setiap masalah ada penyelesaiannya. Peranan pertama yang dapat membantu datangnya daripada institusi kekeluargaan. Ibu bapa merupakan suri teladan yang terbaik kepada anak-anak. Hal ini kerana sebahagian besar masa anak-anak adalah di rumah, justeru ibu bapa perlulah mencari alternatif terbaik dalam menitikberatkan pengisian masa yang berkualiti kepada anak-anak. Sebagai contoh, tukarlah kelaziman memberi hadiah berupa barang permainan kepada buku kepada anak-anak sempena hari ulang tahun atau kerana memperoleh kejayaan dalam akademik. Bawalah anak-anak ke kedai buku atau ke pusat pameran buku. Ibu bapa juga boleh membina perpustakaan mini di rumah untuk keperluan anak-anak mereka. Langkah ini dapat merangsang minda anak-anak agar menjadikan buku sebagai sahabat paling setia. Sesungguhnya peranan ibu bapa sangat besar dalam menerapkan minat membaca anak-anak seperti kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Ayuh kita fokuskan lensa pemikiran kita kepada isi yang kedua iaitu peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah. Mengapakah peranan pihak sekolah amat diperlukan dalam konteks membina modal insan intelektual? Hal ini kerana sekolah merupakan kutubkhanah yang menyediakan pelbagai prasarana kepada para pelajar mendalami ilmu pengetahuan. Tugas guru kini lebih kepada fasilitator iaitu pemudah cara, maka pelajar perlu berdikari mencari maklumat tambahan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan guru. Impaknya, pelajar akan merasakan membaca itu menyeronokkan, memberi manfaat, serta menghiburkan apabila setiap tugasan mampu dibereskan dengan menggunakan prasarana yang disediakan oleh pihak sekolah. Kempen Buku Nilam misalnya sesuatu pendekatan yang proaktif dan menjadi serampang dua mata di mana kempen ini berhasil dalam melahirkan Tokoh Nilam genius SPM seperti Nur Amalina Che Bakri dengan pencapaian 17 1A dan Azali Azlan dengan pencapaian 20 1A. Signifikasinya, peranan pihak sekolah sebagai batu loncatan ke arah masyarakat berilmu merupakan hujah yang sangat kukuh.
Bagaimana pula dengan peranan yang dimainkan oleh pihak penerbit buku? Pihak penerbit buku janganlah terlalu ghairah dalam mengaut keuntungan dengan hanya memfokuskan pasaran terbitan picisan hanya semata-mata terbitan ini menduduki carta jualan paling memberangsangkan. Menurut sumber yang diperoleh, Malaysia telah meneritkan sebanyak 6,500 buah buku dalam setahun di mana industri buku negara telah menyumbangkan sebanyak RM1.5 bilion setahun kepada pendapatan negara. Persoalannya, adakah buku-buku terbitan baharu itu kebanyakannya buku-buku bercorak ilmiah atau sebaliknya? Tepuk dada tanyalah selera. Oleh itu, perlu adanya anjakan paradigma oleh pihak penerbit buku mulai sekarang. Mereka perlu ada rasa tanggungjawab sosial dalam mendidik dan membangunkan modal insan melalui terbitan buku-buku bercorak akademik dan ilmiah. Jika pihak penerbit buku mempunyai kesedaran ini dalam atma dan sukma mereka, sudah tentulah masyarakat zaman globalisasi di negara ini akan lebih berdaya saing, bernas pemikirannya serta mampu memacu negara mengikut acuan kita sendiri. Pendek kata, pihak penerbit buku berperanan penting dalam menyemarak lagi budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Kita skopkan lensa pemikiran kita kepada peranan yang dimainkan oleh kerajaan. Kerajaan berperanan sebagai platform dalam mendidik masyarakat menjadi bangsa yang bertamadun, berilmu serta mampu menangkis anasir-anasir luar dalam mengharungi dunia tanpa sempadan ini. Melalui pelbagai kaedah dan pendekatan yang ditunjangi oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, graduan pascamerdeka yang bakal dilahirkan akan lebih berkualiti inteleknya serta amat diperlukan dalam pasaran kerja sama ada di peringkat domestik atau di peringkat global. Biar kita ambil contoh melalui insentif yang diberikan kepada para penterjemah yang bertanggungjawab menterjemah buku-buku terbitan luar negara dalam pelbagai bahasa untuk diguna pakai di dalam institut pengajian tinggi awam dan swasta. Begitu juga dengan langkah pihak kerajaan dalam menurunkan duti import terhadap bahan bacaan luar selain penganjuran pesta buku antarabangsa. Tuntasnya, peranan pihak kerajaan amat perlu dalam membudayakan ilmu sebagai wahana pembangunan negara.
Sebagai intiha, semua pihak haruslah komited dalam menerapkan minat membaca dan seterusnya menyahut seruan kerajaan demi merealisasikan visi seratus peratus celik huruf tahun 2010. Kesedaran dalam diri individu terhadap peri pentingnya ilmu melalui pembacaan dapat meningkatkan keintelektualan masyarakat Malaysia pada masa hadapan. Pada akhirnya, langkah ini diharapkan dapat menyemarak lagi kempen membudayakan ilmu sebagai corak kehidupan masyarakat Malaysia seperti mana yang telah dipraktikkan oleh bangsa Jepun. Cendekiawan ada berkata, ilmu pelita hati.

Minda anak pascamerdeka

Oleh: Harliza Esa SMK Sri Gading.

2 Spekulasi:

jelikweyh August 12, 2008 at 11:44 PM  

saya suka bc ...
skang saya masih membc
sy sdg bc entry en hafiz
en hafiz suka taip panjang2
namun begitu , entry2 nyer sgt bagus ...

claps 4 u hafiz !!!

x der kj ptg2 nih ... hohoh

Nurhidayah Jaafar February 12, 2009 at 7:22 PM  

salam..

ana paling sedih bila yang malas membaca adlh di kalangan pendakwah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pengunjung

Kamu dari mana? Nak tengok apa?

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP