Friday, March 6, 2009

MENGHAYATI SIRAH NABI MUHAMMAD S.A.W.



Ya Rasululah
Tiada setanding dia
Insan paling berjasa
Kasih kepada ummah
Berkorban segalanya

Agar selamat hidup manusia di dunia
Agar selamat hidup manusia di akhirat

Rasulullah

Tiada ternilai budinya
Hikmat iman dan Islam
Al Quran dan As Sunnahnya
Harta paling berharga

Rasul pemimpin ummah
Penegak kebenaran
Penentang kejahilan
Saiful Ummah cahaya menerangi alam maya

Sayang kepada ummah
Dijanjikannya syurga

Biar dicerca atau dihina tetap tabah
Tidak sekali rasa kecewa putus asa

Rasulullah

Demi tuhan yang Esa
Untuk Islam yang mulia
Kerana ummah tercinta
Jiwa dan raga rela kau taruhkan

Rasul penunjuk jalan
Pahlawan yang terbilang
Pembela kebenaran
Khotimun Nabi Rasul sepanjang zaman.

Sempena Maulidur Rasul yang bakal menjelma pada tanggal 12 Rabbiul Awal 1430H bersamaan 9 Mac 2009M marilah sama-sama kita memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Baginda di beri nama Muhammad ibn Abdullah ibn Abdul Muttalib ibn Hashim. Subuh Isnin tanggal 12 Rabbiul Awwal bersamaan 20 April 571M juga dikenali sebagai tahun gajah, sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Ka'abah telah menyaksikan lahirnya Baginda di muka bumi dengan penuh rahmat dan keberkatan. Baginda dilahirkan di rumah bapa saudaranya yang sangat penyanyang bernama Abu Talib di Makkah Al Muqarramah. Ibunya bernama Aminah ibnatu Wahab ibn Abdul Manaf (Imamus Syafie Rahimahullahu Ta'ala mempunyai nasab dengan Rasulullah melalui atuk Baginda Abdul Manaf). Nabi dilahirkan tanpa dapat melihat wajah ayahnya yang sangat disayangi, oleh itu hamba perempuan bapa Baginda yang bernama Barakah Al Habsyiyyah menjadi pengasuh yang pertama kepada Baginda. Baginda juga mempunyai ibu susuan, ibu susuan Nabi yang pertama ialah Thuwaibah merupakan hamba perempuan Abu Lahab, dan ibu susuan nabi yang kedua ialah Halimah binti Abu Zuaib As-Sa'diah isteri kepada Abu Kabsyah yang juga dikenali sebagai Halimah As-Sa'diah.

Pada Umur Nabi 5 tahun, telah berlakunya peristiwa pembersihan hati Nabi oleh 2 Malaikat yang diutuskan ALLAH S.W.T untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud didalamnya. Nabi Muhammad S.A.W telah kehilangan ibu yang sangat dicintainya Aminah binti Wahab, ibu Nabi meninggal dunia di Al-Abwa' sebuah kampung yang terletak di antara Kota Makkah dan Kota Madinah (dahulunya dikenali sebagai Kota Yathrib) pada usia Nabi seawal 6 tahun. Setelah itu Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman iaitu hamba perempuan bapa Rasulullah S.A.W dan dibiayai oleh datuknya 'Abdul Muttalib. Ketika Umur Nabi mencecah 8 tahun datuknya, 'Abdul Muttalib pula meninggal dunia dan Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib yang sangat penyanyang, beliau menjaga Nabi dengan penuh kasih sayang. Setelah Nabi dewasa (dalam likungan umur 9-12 tahun) Nabi Muhammad S.A.W mengikut bapa saudaranya ke syam untuk berniaga. Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu. Nabi Pernah terlibat dengan peperangan Fijar juga merupakan peperangan awal yang pernah nabi sertai, Nabi berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja. Nabi Muhammad S.A.W bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah pada usia 25 tahun bertemankan Maisarah (pekerja kepada Khadijah), Khadijah tertarik kepada sifat mulia yang ditunjukkan Nabi semasa menjalankan amanahnya, Nabi Muhammad S.A.W bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain telah berjumpa Amru ibn Asad (bapa saudara khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
Banjir besar telah melanda Kota Mekah dan meruntuhkan dinding Ka'abah, pembinaan semula Ka'abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah. Rasulullah S.A.W diberi kemuliaan untuk meletakkan 'Hajarul-Aswad' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut dan ketika itu umur Nabi 35 tahun. Wahyu yang pertama telah diturunkan kepada Nabi melalui Malaikat Jibril A.S yang diutuskan oleh ALLAH S.W.T di Gua Hira' ketika umur Nabi 40 tahun, Baginda diangkat dan dilantik menjadi nabi dan rasul umat akhir zaman.
ALLAH S.W.T telah memerintahkan Baginda berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq R.A ketika umur Baginda 53 tahun. Nabi Muhammad S.A.W tiba di Kota Madinah Al Munawwarah pada tanggal 12 Rabiulawal bersamaan 24 September 622M, Nabi dan rombongan disambut baik penduduk-penduduk Madinah. Tanggal 12 Rabiulawal tahun 11H bersamaan 8 Jun 632M, hari isnin yang sayu junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W telah wafat, umur Baginda 63 tahun.

ISTERI-ISTERI DAN ANAK-ANAK RASULULLAH S.A.W.

1.Khadijah Binti Khuwailid
2.Saudah Binti Zam'ah
3.'Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)
4.Hafsah binti 'Umar (anak Saidina 'Umar bin Al-Khattab)
5.Ummu Habibah Binti Abu Sufyan
6.Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummu Salamah)
7.Zainab Binti Jahsy
8.Maimunah Binti Harith
9.Safiyah Binti Huyai bin Akhtab
10.Zainab Binti Khuzaimah (digelar 'Ummu Al-Masakin'; Ibu Orang Miskin)

1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra'

NASAB KETURUNAN RASULULLAH S.A.W.

Keturunan Rasulullah S.A.W boleh dibahagikan kepada tiga peringkat, peringkat pertama disepakati oleh semua ahli sirah iaitu keturunan Baginda hingga Adnan, peringkat kedua ahli sirah berikhtilaf pendapat, padanya ada yang bertawakkuf dan ada pendapat yang berbicara mengenainya iaitu dari Adnan hingga Ibrahim A.S. Manakala peringkat ketiga, di mana wujudnya keraguan tentang beberapa perkara yang tidak sahih iaitu dari Ibrahim A.S. hingga Adam A.S.

Peringkat Pertama : Muhammad S.A.W ibn Abdullah ibn Abdul Muttalib (digelar Al Shaibah) ibn Hashim (digelar Amru) ibn Abdul Manaf (digelar Al Mughirah) ibn Qusaib (digelar KIlab) ibn Murrah ibn Kaab ibn Luaibin Ghalib ibn Fihr (digelar Quraisy, pada Beliau dinasabkan qabilah ini) ibn Malik ibn Nadhr (Qais) ibn Kinanah ibn Khuzaimah ibn Mudrikah (digelar Amir) ibn Alias ibn Mudhar ibn Nizar ibn Ma'ad ibn Adnan.

Peringkat Kedua : Adnan ibn Udd ibn Hamisa' ibn Sulaman ibn 'Aus ibn Buz ibn Qamwal ibn Ubai ibn Awwam ibn Nashiid ibn Haza ibn Baldas ibn Yadalaf ibn Tabakh ibn Jahim ibn Nahish ibn Makhi ibn Aidh ibn 'Abqar ibn Abid ibn Al Daa' ibn Hamdan ibn Sinbar ibn Yathir ibn Yahzan ibnYalhan ibn Ar'awa ibn Aidh ibn Daishan ibn Aisar ibn Afnad ibn Aiham ibn Muqsir ibn Nahis ibn Zarah ibn Suma ibn Mazi ibn Audah ibn Uram ibn Qidar ibn Ismail A.S ibn Ibrahim A.S.

Peringkat Ketiga : Ibrahim A.S ibn Taroh (digelar Azar) ibn Nahur ibn Saru' @ Sarugh ibn Ra'u ibn Falakh ibn 'Abir ibn Syaligh ibn Arfakhsyad ibn Sam ibn Nuh A.S ibn Lamik ibn Mutawashlikh ibn Akhnukh (dikenali sebagai Nabi Idris A.S.) ibn Yarid Mahala'il ibn Qainan ibn Anusyah ibn Syith ibn Adam A.S.

Dikesempatan ini marilah sama-sama kita membaca dan mengkaji sirah kehidupan Rasulullah S.A.W dan perjuangan Rasulullah untuk ummatnya. Akhirnya hayatilah hadith ini :
Pernah satu ketika, sedang Rasulullah berkumpul di dalam satu majlis bersama para sahabat, tiba-tiba bergenang air mata Baginda Rasulullah S.A.W. Para sahabat gelisah melihat sesuatu yang tidak mereka senangi di wajah Rasulullah S.A.W. Bila ditanyakan oleh Saidina Abu Bakar, Baginda mengatakan bahawa Baginda terlalu merindui umatnya di akhir zaman yang disebut-sebut sebagai ikhwannya. Para sahabat merasa iri hati hinggakan Saidina Abu Bakar bertanya, "Bukankah kami ini ikhwanmu? Tidak Abu Bakar, kamu semua adalah sahabatku" kata Rasulullah S.A.W. Ikhwanku itu, menurut Rasulullah S.A.W adalah mereka yang belum pernah melihatku, tetapi mereka beriman dan mencintaiku. Aku sangat rindu untuk bertemu mereka".

ALLAHUMMA SOLLI 'ALA SAIDINA MUHAMMAD WA 'ALA ALI SAIDINA MUHAMMAD..

Rujukkan dari Kitab Ar Rahiqul Makhtum.

0 Spekulasi:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pengunjung

Kamu dari mana? Nak tengok apa?

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP